Monday, March 23, 2009

MEMBAWA KAKAK NAWWAR MELIHAT ADIK BABY SAMBIL BERTEGUR SAPA DENGAN PAK BIDANNYA


Temujanji bulanan saya bagi pemeriksaan antenatal di salah sebuah hospital swasta di KL (hospital panel tempat saya bekerja) kali ini amat mengujakan! Melihat imbasan bayi kami yang semakin membesar yang sekarang masuk bulan ke lima sungguh menyeronokkan. Walaupun kehamilan kali ini bukan kali yang pertama, namun pengalaman mengandung memang sesuatu yang pasti dirindui oleh semua yang pernah menjadi ibu. Bukan sahaja para ibu, tetapi para bapa pun sama-sama ’berjangkit’ perasaan gembira kerana bersebabkan si bapalah (dengan izin Allah jua), si bayi tercipta di dalam rahim ibu!

Apa yang amat menggembirakan kami adalah kerana bayi kami telah membuat show-up menunjukkan dengan jelas jantinanya. Nampak jelas ’burungnya’ apabila bayi kami membuka luas pehanya. MashaAllah, jikalau tepatlah apa yang ditunjuk oleh scanner di hospital tempohari maka kami telah 'lengkap' mendapat sepasang cahayamata perempuan dan lelaki. Sungguh lucu apabila sempat kami saksikan bayi kami yang sedang tersedu. Tertelan air ketuban kata doktor berjenaka! Dan amat mengujakan apabila melihat aksi bayi kami yang persis ’seorang perenang amatur’ menguak-nguakkan lengan dan mengayuh kakinya melalui skrin scanner tersebut.

’Kakak’ Nawwar, bakal kakak yang baru mencecah 2 tahun 2 bulan memang nampak blurred sungguh apabila suami saya menunjukkan skrin scanner yang memaparkan imbasan adik lelakinya. Maklumlah gambar scanner 2-D yang bewarna hitam memang tidak jelas langsung di mata budak sekecilnya. Namun Nawwar telah kami ’maklumkan’ mengenai kehadiran orang baru ini dengan mengajarnya mencium perut saya dan memberi salam kepada ’adik baby’ di dalam perut ummi. Dia seakan faham akan kehadiran orang baru ini.

Namun benarlah kata orang tua-tua, anak kecil yang bakal mendapat adik selalunya akan ’membuat perangai’ dan ’membuli’ ibu bapanya. Manja Nawwar semakin menjadi-jadi. Untuk menidurkannya, terpaksa saya meletakkan dia betul-betul di bawah ketiak saya agar dia cepat lena. Menjadi tabiatnya pula setiap malam sebelum terlena untuk menarik tangan saya dan mencium berkali-kali lengan saya. Tidak sah kalau tidak 'melekap' dengan saya! Alahai anak ummi. Seakan tahu saja yang tempatnya akan diambil alih oleh ’adik baby’ nya. Kasihan pula saya mengenangkannya.

Berbalik kepada sesi pemeriksaan antenatal saya, doktor sakit puan yang memeriksa saya sebenarnya adalah doktor yang sama membidankan saya semasa melahirkan Nawwar. Ya, bidan lelaki. Beliau memang terkenal di hospital tersebut dengan sikap kelakar, ramah tamah dan suka ’membebel’, tetapi bebelan yang menyenangkan. Maksud saya, bebelan yang menunjukkan sikap caring seorang doktor. Nawwar pula yang sememangnya seorang toddler yang peramah dan extrovert telah ’bertegur sapa’ dengan doktor tersebut serta ’menyampuk2’ percakapan doktor dengan menggunakan bahasa pelatnya sendiri (yang hanya dia sahaja yang faham). Nampak sungguh serasi pak bidan dengan si Nawwar! Sampaikan di akhir sesi Nawwar mengucapkan ’bye’ dengan nyaring sambil melambaikan tangannya seolah-olah sudah lama kenal!

Sebenarnya, semasa melahirkan Nawwar, saya telah memilih seorang doktor wanita, namun, oleh kerana ’jalan keluar bayi’ yang tidak terbuka dari pagi hingga ke petang, tambahan pula tarikh melahirkan yang telah over-due 3 hari, maks saya terpaksa menjalani pembedahan ceasarian. Dan doktor lelaki tersebutlah telah mengambil alih tugasan ’membidankan’ saya. Rupa-rupanya mengikut beliau, leher Nawwar sebenarnya telah terbelit dengan tali pusat! Patutlah Nawwar ’enggan keluar ikut pintu’, ’takut tercekik!’ Alhamdulillah, segalanya selamat. 'Pak bidan' tersebutlah yang bertanggungjawab ’menarik’ Nawwar ’keluar ikut tingkap’ demi mengelakkan risiko.

Saya berdoa dan berharap agar kelahiran bayi kami yang kedua ini akan berjalan lancar dengan selamat sejahtera. Saya juga berdoa agar saya boleh melahirkan cahayamata kedua ini secara normal. Walaupun saya amat berdebar dan takut membayangkan kesakitan bersalin normal, namun saya pasti para pembaca semua bersetuju bahawa, bersalin secara normal berpuluh kali ganda lebih baik daripada secara pembedahan.

Kepada Tuhan kita berdoa dan berharap di samping tidak lupa untuk berusaha.

Sunday, March 1, 2009

TAK BERAPA ELOKLAH NAMPAK ORANG BAWAK ANAK


Sambil-sambil makan sebentar tadi, saya tumpang berbual dengan kawan-kawan sepejabat. Topik hangat kami tentunya mengenai perancangan organisasi dimana kami bekerja yang sedang rancak menjalankan mesyuarat mengenai pelan rekabentuk untuk pembinaan ibu pejabat baru di atas tanah milik organisasi ini. Kesemua pengurusan kanan dan tertinggi dipanggil untuk menabur idea dan cadangan terhadap ruangan dan rekabentuk bangunan tersebut sebelum mereka melantik arkitek dan pembina pangunan tersebut.

Maka sebagai ibu, sudah tentulah saya dan rakan-rakan tertanya-tanya mengenai kemudahan pusat jagaan dan asuhan kanak kerana bagi kami kemudahan sebegitu tentunya amat meringankan beban kami dalam menghantar dan mengambil anak masing-masing. Lagipun, bagi pekerja wanita yang masih mempunyai anak yang menyusu badan, bukankah kemudahan pusat jagaan sebegini amat mudah dan menyenangkan mereka untuk menyusui si manja.

Salah seorang teman berbual kami tadi adalah salah seorang ahli mesyuarat yang mendapat update terkini mengena perkembangan pembinaan pejabat tersebut dan updatenya tadi amat memeranjatkan kami. Di dalam mesyuarat terkini yang baru diadakan, setakat ini keputusan pengurusan tertinggi adalah kemungkinan besar TIADA PUSAT JAGAAN HARIAN untuk anak-anak warga kerja di organisasi kami yang akan disediakan.

Kami bertanya lagi, apakah alasan pengurusan atas penolakan mereka terhadap permintaan kami untuk penyediaan kemudahan bagi kami kaum-kaum ibu. Lantas mudah saja dijawab oleh teman kami tersebut iaitu bangunan pusat jagaan hendaklah dibuat berasingan daripada kompleks pejabat kami. Baiklah, saya faham kerana keputusan itu adalah atas dasar pembahagian ruang formal dan tidak formal serta atas pertimbangan terhadap circulation dan safety. Kemudian teman saya menyambung lagi bahawa oleh kerana keluasan tapak yang tidak berapa besar, maka pengurusan setakat ini memutuskan untuk tidak menyediakan pusat jagaan tersebut. Saya terfikir bahawa berdasarkan kepada alasan bahawa pusat jagaan adalah kemudahan asas yang amat diperlukan oleh kaum ibu yang bekerja di sini dan bukanlah salah untuk meletakkan pusat jagaan tersebut di dalam kompleks pejabat. Cuma serahkan kepada arkitek yang terbabit menggunakan kebijaksanaan mereka dalam memposisikan ruangan pusat jagaan tersebut.

Namun, ujar teman saya tadi, Ketua kami tidak berapa suka melihat budak-budak kecil di angkut dan dikelek di kawasan pejabat. Tuan Ketua juga mengatakan bahawa tidak manislah apabila para pelanggan melihat 'pemandangan' tersebut di kawasan legar pejabat. Saya hampir tersedak ketika makan tadi. Walaupun saya agak terkejut dengan 'prinsip' Tuan Ketua kami tersebut, saya masih boleh 'maafkan' beliau untuk berpendapat sedemikian kerana beliau adalah seorang lelaki yang sudah menginjak usia 60an dan saya pasti yang mungkin sukar untuk beliau 'menginjak kembali nostalgia lama' nya ketika bergelut membesarkan anak-anak. Ah! Mungkin isterinya suri-rumah dan oleh kerana ini beliau tidak 'dididik' untuk berfikir mengenai keperluan pusat jagaan anak-anak bagi para ibu yang memerah tenaga bekerja di pejabat yang masing-masing juga tidak terlepas daripada menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak yang masih kecil! Walau hati-keibuan saya terhiris dengan statement 'tidak suka melihat kami pekerja mengangkut anak di pejabat', namun masih saya cuba pujuk hati saya atas dasar pertimbangan terhadap faktor 'kenaifan' Tuan Ketua tersebut yang tidak tercapai akalnya berfikir seperti seorang ibu.

Namun, apa yang membuatkan saya tidak faham adalah mengapa ahli-ahli mesyuarat yang ada terdiri daripada kaum ibu yang pernah mengharungi pancaroba membahagikan masa antara kerjaya dan anak-anak, tidak bangkit dan mengetengahkan pendapat mereka untuk mempertahankan hak-hak kaum ibu seperti kami. Kami para ibu bukannya akan mengelek anak ke dalam ruangan pejabat ketika waktu bekerja. Mempunyai pusat jagaan anak-anak bermakna kaum ibu akan hanya dilihat mengusung anak dan bayi SEBELUM dan SELEPAS waktu kerja iaitu ketika hendak menghantar anak ke pusat jagaan serta ketika mahu mengambil anak selepas pulang dari pejabat. Untuk kaum ibu yang menyusukan anak ketika waktu rehat pula, jika ada ruangan penyusuan di pusat jagaan, dilengkapi pula dengan undang-undang dan peraturan yang sepatutnya, maka TIADA IBU YANG AKAN DILIHAT MENDAKAP BAYINYA DI DALAM ATAU KETIKA WAKTU PEJABAT.
Lagipun, persoalannya, apakah imej mengelek anak itu terlalu 'low-standard' dan 'tidak profesional' apabila dilihat oleh para pelanggan walaupun di luar waktu pejabat? Ada dua jawapan, Ya dan Tidak. Ya-bagi mereka yang terlebih memikirkan soal imej luaran serta mengenepikan kebajikan pekerja, manakala Tidak-bagi mereka yang memikirkan kebajikan pekerja dan soal praktikaliti.



Friday, November 21, 2008

SUSU IBU DAN IBU SUSUAN: Seteguk susu yang mendamaikan jiwa dan mengeratkan cinta


Suatu malam, saya betul-betul kepenatan. Ketika suami saya di masjid, tinggallah saya bersendirian ditemani si kecil kami, Nawwar yang baru menginjak 20 bulan. Selepas waktu maghrib, tidak dapat lagi saya menahan keletihan yang melampau ini, terus saya merebahkan badan ke tilam. Nawwar yang masih menyusukan badan cepat-cepat merapati saya dan merengek dengan bahasa pelatnya mahu disusui. "Nenen..nenen". Lantas bersegera saya susukannya, berbaring, sambil melayan rasa penat dan mengantuk yang betul-betul menguasai saya ketika itu. Nawwar sebenarnya seperti 'ketagihan' susu badan yang tidak pernah ditinggalkannya semenjak berusia satu hari. Walaupun saya tidak dapat memberikan *susuan ekslusif kepadanya selama 6 bulan (oleh kerana kejahilan saya di dalam teknik penyusuan badan bagi ibu bekerjaya), namun saya tekad untuk meneruskan penyusuan 'campuran' (susu badan & botol) sehingga dia berumur 2 tahun kelak. Nawwar terus menyusu sambil jari-jemari halusnya mengurut-ngurut badan saya. Wah! syoknya dia menyusu! Matanya yang sayu dan seakan-akan mengantuk seolah-olah seperti diberi 'ubat tidur' bila saja disusukan.
Tanyalah mana-mana ibu pun, inilah saat paling indah bagi mana-mana ibu yang menyusui bayi! Riak wajah Nawwar ketika menyusu tidak pernah berubah seperti mana dia masih bayi kemerahan dulu menyebabkan perasaan keibuan saya membuak-buak tiap kali saya memerhatikannya menyusu. Inilah 'pengikat ' jiwa antara kami anak beranak iaitu menyusu badan. Lihat saja di mana tempatnya susu ibu itu, iaitu di dada dan di sisi jantung dan hati si ibu. Maka memang benarlah anak adalah jantung hati ibu!

Berulang alik daripada rumah saya di Seremban ke tempat kerja di Kuala Lumpur memang menyebabkan masa saya bersama Nawwar amat-amat terhad! Saya bertolak ke tempat kerja seawal Subuh dan hanya tiba di rumah sekembalinya dari pejabat pada waktu maghrib selalu juga saya sampai selepas Isya'. Pagi-pagi Subuh saya telah menghantar Nawwar ke rumah pengasuhnya yang hanya terletak di hadapan rumah saya. Alhamdulillah tidaklah teruk kami suami isteri mengambil dan menghantar Nawwar saban hari. Pengasuh Nawwar yang membahasakan dirinya sebagai "Ibu" pada anak-anaknya termasuk Nawwar dan 'anak-anak asuhan' lain itu tidak jemu-jemu membuka pintu pagi-pagi subuh untuk Nawwar yang merupakan 'anak asuhannya' yang paling awal tiba di rumahnya. Pengasuh tersebut mempunyai 8 orang anak yang semuanya amat rapat dengan Nawwar. Pantang saja Nawwar keluar dari pintu rumah dan menjengah diri di pagar hadapan, mesti saja Nawwar disapa mereka. Memang amat mencuit hati melihat gelagat Nawwar dan 'adik beradiknya' bertegur sapa. Nawwar yang baru belajar bercakap sepatah dua kata hanya mampu terjerit-jerit kegembiraan apabila disapa.
Sebenarnya kelapan-lapan anak pengasuh Nawwar memang 'adik-beradik Nawwar yang sedarah sedaging'.
Ini adalah oleh kerana 'Ibu' merupakan ibu susuan Nawwar.
Saya dan suami membuat keputusan untuk menjadikan 'Ibu' sebagai ibu susuan Nawwar atas tiga faktor utama:
1. Untuk keperluan susuan badan bagi meningkatkan anti-bodi Nawwar yang ketika itu sering tidak sihat (ketika mula2 saya pindah ke Seremban, Nawwar jatuh sakit sehingga 2 kali ditahan wad akibat jangkitan paru2. Saya pula tidak mempunyai kelengkapan mengepam susu waktu itu)
2. Untuk mengeratkan lagi hubungan jiwa antara Nawwar dan 'Ibu' oleh itu, jiwa saya&suami tenteram meninggalkan Nawwar dalam masa yang agak lama sehari kerana saya yakin seseorang yang mengasuh dengan kasih sayang, akan mengasuh dengan seikhlas hati (Percayalah, memang 'Ibu' amat menyayangi Nawwar. Suaminya, 'Bapak' juga nampak ketara mengasihi Nawwar)
3. Untuk 'menambahkan ahli keluarga Nawwar' dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga saya dan keluarga saya. (Memang saya tidak rasa mereka seperti orang lain, malah saya merasa mereka seperti saudara mara sedarah daging saya sendiri)Saya dan suami amat positif di dalam membuat keputusan "berkongsi kasih dan 'nasab' " dengan keluarga ibu susuan Nawwar.

Memang ada suara-suara sumbang yang mengkritik mengatakan bahawa betapa 'bahayanya' risiko2 mendatang apabila Nawwar menginjak remaja dan dewasa kerana kononnya akan membuatkan Nawwar di dalam dilema jika dia ditakdirkan 'jatuh suka' pada saudara susuan lelakinya serta bermacam-macam kritikan yang singgah di telinga saya. Namun saya pekakkan telinga kerana bagi saya jika Nawwar dan keluarga susuannya dididik dan faham akan hukum-hakam dan syariat, maka perkara-perkara karut tersebut tidak akan terjadi.
Bila ada yang mengkritik, pelan-pelan saya cuba positifkan kembali jiwa saya dengan kisah seorang insan agung yang menjadi kekasih Allah, dialah Rasulullah SAW yang juga disusukan oleh ibu susuannya Halimatus Sa'diah. Wallahu a'lam.


*susuan ekslusif : penyusuan badan sahaja tanpa memberikan apa-apa minuman / makanan langsung.

Thursday, November 13, 2008

MEMBENTUK KEPERIBADIAN CEMERLANG : PANDUAN UNTUK IBU BAPA

PARENTING BOOK PART 1

Kelab Wanita Universiti Kebangsaan MalaysiaKuala Lumpur, Malaysia.2002.© Muhammad al' Mahdi on behalf of Allah.Kami membenarkan mana-mana bahagian dan isi kandunagan buku ini dikeluarkan semula dalam apa juga bentuk selagi ia dilakukan untuk kebaikan masyarakat dan ummah dan bukan untuk tujuan mendapat keuntungan. Sesiapa yang ingin mencetak buku ini untuk tujuan komersil sila dapatkan kebenaran dari kami.We give permission for this material to be reproduced and disseminated by any means as long as it is done non-commercially (not for profit) and for the general betterment of society. If anyone desires to reproduce and/or disseminate this material commercially please ask our permission. ISBN 983-41173-0-2

PENGENALAN

Anak merupakan amanah Allah kepada ibubapa. Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda:"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni Muslim). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi."(Bukhari)Menurut Imam Al-Ghazali pula, anak adalah seperti sebutir batu permata yang belum digilap. Ibu bapalah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan. Jelas, ibu bapalah yang akan menentukan sama ada anak-anaknya "menjadi" atau tidak. Semua ibu bapa mahu membesarkan anak-anak mereka untuk menjadi insan yang mulia tetapi ramai yang tidak tahu cara yang berkesan untuk melakukannya.

Dua perkara pokok diperlukan:
1. Ibu bapa perlu mengetahui bagaimana keperibadian terbentuk.
2. Ibu bapa perlu mempunyai suatu nilai sebagai asas kepada keperibadian anaknya; nilai ini adalah nilai keperibadian Islam dan anak-anak perlu dibesarkan sebagai Khalifah Allah.

Dengan menggabungkan kedua-dua aspek ini ibu bapa akan dapat membentuk anak-anak yang akan menjadi insan yang cemerlang di dunia dan insan yang cemerlang di akhirat.Apakah faktor yang mempengaruhi pembentukan keperibadian?Faktor utama yang menentukan keperibadian seseorang ialah faktor persekitaran.

Tiga faktor persekitaran yang mempengaruhi keperibadian individu:
1. persekitaran fizikal
2. persekitaran sosial
3. kata hati (inner speech)

Satu faktor dalaman yang bertindak sebagai penapis ialah PERSEPSI.
1. Persekitaran fizikal (Prasarana dan kemudahan awam)
2. Persekitaran sosial (Komunikasi interpersonal)
a. perhubungan sesama manusia
§ ibubapa
§ keluarga
§ rakan
§ guru2 orang sekeliling
b. perisian perkara-perkara yang dicipta oleh manusia
§ TV
§ Video
§ Komputer§
Muzik
3. Kata hati
o Adalah perkara-perkara yang kita kata kepada diri kita sendiri.
o Kata hati berperanan untuk menentukan tindak-tanduk individu.
o Ia terbentuk melalui pengalaman dari pembelajaran masa lampau dan menentukan persepsi mengenai sesuatu perkara.
o Ia memain peranan yang besar di dalam membezakan antara baik dan buruk.


PERSEPSI atau TANGGAPAN
-Persepsi mentafsirkan sebarang maklumat yang diterima dan bertindak sebagai penapis.
-Persepsi setiap individu berbeza kerana ia dipengaruhi oleh faktor persekitaran (fizikal, sosial dan kata hati) dan Pembelajaran Masa Lampau (PML) individu berkenaan.

Contoh perbezaan persepsi tentang rokok:
-Pada orang yang merokok, rokok dianggap nikmat, bergaya dan berstatus·
-Pada yang tak merokok, rokok dianggap busuk, berpenyakit dan membazir·

Di dalam membesarkan anak-anak ibu bapa perlu wujudkan PERSEPSI Islam. Ibu bapa perlu pastikan supaya pembelajaran masa lampau (PML) anak-anak adalah positif:
1. Perwatakan seseorang bergantung kepada jenis pendedahan yang mereka terima sama ada berunsur positif atau negatif.
2. Setiap pendedahan ini akan tertanam di dalam pemikiran mereka sebagai pembelajaranmasa lampau.
3. PML menentukan perwatakan kanak-kanak dan PML dipengaruhi oleh 3 faktor di mana faktor manusia dan kata hati adalah sangat penting.
4. PML akan menentukan keperibadian, pemikiran, tindak-tanduk, dan segalanya tentang siapa kita.
5.Yang kita hendak sasarkan adalah PML yang positif supaya anak kita menjadi insan yang cemerlang. Matlamat kita sebagai ibu bapa adalah untuk membentuk keperibadian positif dalam anak-anak.

Contoh keperibadian positif:
· Kasih pada Allah
· Kasih sesama manusia
· Hormat-menghormati
· Bertimbang rasa
· Bersopan
· Tidak bergaduh sesama saudara
· Rajin belajar
· Istiqamah di dalam sesuatu pekerjaan


Apakah jenis input yang perlu kita berikan untuk membentuk PML yang positif?
1. Dengan memberi GANJARAN kepada setiap perkara positif (baik) yang dilakukan oleh anak kita.
2. Dengan memberi GANJARAN setiap kali anak kita TIDAK melakukan perkara negatif (tidak baik).
3. Amalan sebegini dipanggil PENGARUH POSITIF TERARAH (directed positive influence)
4. Pengaruh positif terarah bermaksud memberi ganjaran kepada anak kita setiap kali mereka melakukan perkara yang baik atau meninggalkan perkara yang dilarang serta menegur kesilapan mereka dengan cara yang baik apabila mereka melakukan sesuatu kesalahan.
5. Dengan cara ini, mereka akan terdorong untuk terus melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik.

Bagaimanakah GANJARAN diberikan?
· Beri perhatian
· Beri penghormatan, pengiktirafan
· Beri kata-kata pujian
· Beri kata-kata perangsang
· Ucap terima kasih
· Sebut-sebutkan perkara baik yang dilakukan oleh anak kita
· Tunjuk kasih sayang dengan perkataan dan perbuatan
· Beri hadiah (tetapi tidak perlu kerap)
· Bawa anak berjalan
· Anak-anak boleh diajar memberi ganjaran pada diri sendiri dengan menggunakan kata hati.

PERANAN KATA HATI
KISAH YUSUF DI KUALA LUMPUR .....
Yusuf berasal dari kampung dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan didikan agama yang mantap. Semasa menunggu keputusan SPM, dia menziarahi ibu saudaranya di Kuala Lumpur dan telah dibawa oleh sepupunya ke suatu majlis sambutan harijadi. Majlis ini melibatkan remaja sahaja dengan muzik dan tari menari. Tiba-tiba datang sekumpulan anak muda membawa satu karton arak dan mula mengedarnya kepada mereka yang hadir. Yusuf juga diberi satu tin arak. Dia terus menolaknya. Rakan yang baru dikenalinya mempelawa lagi."Ala relaks la, nak suruh rasa aje. Bukan mabuk pun. Kita orang semua dah rasa, tak ada apa-apa pun."Yusuf berkata pada dirinya, "Arak memang haram dan aku mesti kuatkan pendirian aku. Biarlah mereka kata aku kolot tapi aku tidak akan benarkan keseronokan sementara ini menggoyang imanku. Mereka tak mahu berkawan dengan aku pun tak mengapa. Mungkin elok juga aku tinggalkan majlis ini. Dari tadi aku tak senang duduk dengan tari menari dan pergaulan bebas macam ini."Yusuf mengajak sepupunya pulang yang kebetulan juga tidak menyangka majlis tersebut disambut sedemikian rupa. Dalam perjalanan pulang Yusuf berkata kepada dirinya, "Aku bangga dengan diriku yang tidak mudah terpengaruh. Semoga Allah sentiasa membimbing aku di jalan yang lurus."

Perhatikan dari contoh di atas Yusuf telah menggunakan kata hati secara positif dalam dua keadaan:
1. Meyakinkan dirinya supaya tidak terpengaruh dengan desakan rakan untuk melakukan perkara mungkar.
2. Memberi ganjaran kepada dirinya sendiri setelah berjaya menahan dirinya daripada melakukan kejahatan.
o Kata hati boleh mempengaruhi tindak tanduk seseorang secara positif atau negatif. Ia bergantung kepada PML dan persepsi individu.
o Didikan anak-anak dari kecil untuk menjadi Khalifah Allah akan memupuk pembentukan kata hati yang bersifat positif.


Sebagaimana Allah jadikan (Sunnatullah) kejadian dan perjalanan alam dan semua makhluk mengikut Hukum-Hukum Fizik, Kimia dan Biologi, Allah jadikan (Sunnatullah) cara ilmu diperolehi mengikut Hukum Pembelajaran.
· Hukum Pembelajaran menerangkan bagaimana kita mempelajari sesuatu:
1. Semua perbuatan sama ada baik atau buruk diperkukuhkan melalui pemberian ganjaran atau denda.
2. Pemberian ganjaran selepas sesuatu perbuatan akan meningkatkan kebarangkalian perbuatan itu diulangi dari segi kekerapan dan kesungguhan. (Prinsip ini diutamakan dalam membentuk keperibadian positif)
3. Mengenakan denda selepas sesuatu perbuatan akan mengurangkan kebarangkalian perbuatan itu diulangi. (Prinsip ini tidak berkesan untuk membentuk keperibadian positif jangka panjang)
4.PENGUKUHAN (reinforcement) secara berterusan akan membentuk keperibadian individu.
5. Proses membentuk peribadi adalah melalui langkah-langkah kecil yang menuju kepada matlamat akhir (tabiat baik). Ini dipanggil PROSES PEMBENTUKAN (shaping process).
6. Pencapaian pada setiap langkah kecil diperkukuhkan secara positif dalam bentuk ganjaran.
7. Proses pembentukan boleh dijadikan berkesan dengan membantu anak-anak memberi ganjaran sendiri (self-rewarding) melalui kata hati.

Matlamat: Anak memastikan bilik tidurnya sentiasa kemas dan teratur.
Matlamat ini boleh dicapai melalui langkah-langkah kecil berikut untuk anak kita lakukan:·
Langkah 1: Tuala disidai dan baju untuk dibasuh dimasukkan ke dalam bakul, jangan dibiarkan pakaian bertaburan di atas lantai.
· Langkah 2: Katil dikemaskan setiap pagi dan lantai disapu
· Langkah 3: Habuk dilap dan buku-buku di atas meja disusun kemas
· Langkah 4: Bilik dihiaskan
· Langkah 5: Keseluruhan bilik sentiasa kemas dan teratur.

Apabila sasaran dicapai pada setiap langkah, anak-anak diberi ganjaran dalam bentuk kata-kata perangsang, pengiktirafan dan sekali sekala dihadiahkan ais krim atau sebagainya.

KISAH OMAR DENGAN ADIKNYA: CARA MEMBERI GANJARAN
Anak perempuan anda terjatuh ketika sedang bermain dan mengalami sedikit kecederaan pada lututnya lalu menangis. Anak lelaki anda, Omar apabila ternampak sahaja adiknya jatuh terus meluru kepadanya dan mengangkat serta mententeramkannya. Anda yang sedang memerhatikan apa yang berlaku harus dapatkan Omar segera dan berikan kata-kata pujian seperti:"Bagus betul Omar tolong adik tadi. Bertuah mak dapat anak yang sayangkan adiknya. Allah akan kasih pada Omar kerana tolong adik."

Perkara-perkara yang perlu diingat.........
1. Berikan pujian sebaik sahaja selepas anak anda melakukan sesuatu perkara yang baik.
2. Beritahu anak anda secara khusus perkara baik yang telah dilakukannya.
3. Beri pujian dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.
4. Pelbagaikan cara anda memuji anak anda. Jangan guna ungkapan yang sama setiap kali anda memuji.

Perhatikan daripada contoh di atas, terdapat empat perkara yang diberi perhatian:
1. Ibu memberi tahu anaknya bahawa perkara yang telah dilakukan anaknya adalah sesuatu yang baik.
2. Ibu telah menyatakan rasa bangganya terhadap anaknya.
3. Ibu mengambil kesempatan untuk menyedarkan anaknya, betapa dia (anaknya) menyanyangi adiknya.
4. Ibu mengambil kesempatan menerapkan rasa kasih anaknya kepada Allah dengan memberitahunya betapa Allah mengasihi orang yang berbuat baik.

ANAK PERLUKAN PERHATIAN (ATTENTION)
1. Semua anak mahukan perhatian.
2. Anak kita akan membuat apa sahaja untuk mendapatkan perhatian.
3. Kalau diberi pilihan tentunya anak kita mahukan perhatian dalam bentuk positif iaitu kata-kata penghargaan, pujian dan sebagainya.
4. Jika anak kita langsung tidak mendapat perhatian, mereka akan lakukan perkara-perkara yang mereka tahu akan mendapat perhatian walau pun dalam bentuk negatif seperti kena marah, dipukul atau didenda.
5. Anak-anak lebih rela dimarahi daripada mereka tidak diendahkan langsung.
6. Ibu bapa sering lupa menyatakan penghargaan mereka apabila anak-anak berkelakuan baik. Contoh: Anak remaja lelaki kita tidak merokok sedangkan ramai di kalangan rakannya yang merokok. Kita sebagai ibu bapa mengetahui perkara ini tetapi kita berdiam sahaja. Sepatutnya kita beritahu anak kita bahawa kita menghargainya kerana tidak merokok. Ini akan mendorongnya untuk terus tidak merokok.
Budaya Timur ......
1. Dalam budaya Timur khususnya masyarakat Melayu, kita jarang memberi pengiktirafan apabila anak-anak kita melakukan perkara baik.
2. Kebiasaannya, kita hanya berdiam diri dan ini menyebabkan anak-anak berasa tidak dihargai.
3. Kita selalu menganggap bahawa anak kita akan memahami bahawa apabila kita berdiam diri, bermakna kita bersetuju dan berpuas hati dengan tindakan mereka.
4. Tetapi sebaliknya, apabila anak-anak kita melakukan kesilapan atau kesalahan, amat mudah bagi kita untuk memarahi, meninggikan suara serta memukul mereka.
5. Secara tidak langsung, mereka akan membuat kesimpulan sendiri bahawa semua perkara yang mereka lakukan itu tidak betul dan mereka selalu dimarahi tidak kira dalam apa jua keadaan.
6. Dalam masyarakat Melayu juga, ibu bapa lazimnya kurang atau tidak memberi pujian kepada anak-anak terutamanya mereka yang sudah bersekolah dan lebih-lebih lagi, remaja.
7. Kadang kala kita berasa kekok dan malu untuk memaklumkan penghargaan kita kepada mereka.
8. Perkara ini menjadi lebih rumit apabila kita mendapati dalam pertuturan harian kata-kata pujian dalam Bahasa Melayu agak terhad jika dibandingkan dengan Bahasa Inggeris.
9. Untuk mengatasi masalah ini kita perlu kreatif dan mencipta ungkapan-ungkapan yang berbentuk penghargaan (appreciation) dan pujian.
10. Ungkapan-ungkapan ini apabila selalu disebut akan diterima sebagai perkara semula jadi.
11. Kita perlu mengingatkan diri sendiri untuk selalu memberi pujian kepada anak-anak kita tetapi atas sebab-sebab yang sepatutnya.


BAGAIMANA TABIAT BAIK SERING DIABAIKAN
: KISAH AHMAD DI DEWAN MAKAN
Pada hari pertama persekolahan selepas cuti semester, Ahmad, seorang pelajar tadika, menjerit dan menganggu kanak-kanak lain serta membuang makanannya di merata tempat semasa waktu makan. Guru yang mengawasi mereka memarahi Ahmad dengan meninggikan suaranya. Pada keesokkan hari, Ahmad masih berkelakuan buruk di dewan makan; dia menjerit, mengganggu kawan-kawannya dan menumpahkan air sirapnya. Guru yang sama, naik berang, memarahi dan mencubit Ahmad.Pada hari ketiga, Ahmad berkelakuan sangat baik di dewan makan; tidak menjerit atau mengganggu kawan-kawannya dan menghabiskan makanannya dengan sopan. Akan tetapi, gurunya langsung tidak mengambil peduli kepada Ahmad seolah-olah Ahmad tidak ada di dalam dewan makan.Bayangkan bagaimana kelakuan Ahmad pada hari keempat. Sudah semestinya Ahmad akan menjerit dan berkelakuan buruk di dewan makan kerana dengan cara ini, dia mendapat perhatian semua orang terutamanya daripada gurunya.

Rumusan dari kisah:
1. Guru memberi perhatian kepada perkara negatif yang dilakukan tetapi tidak memberi perhatian apabila Ahmad berkelakuan baik.
2.Ahmad mendapati dia tidak mendapat sebarang pengiktirafan apabila dia berkelakuan baik. Oleh itu dia mula berkelakuan buruk untuk mendapat perhatian gurunya.
3. Senario sebegini sering berlaku di rumah. Oleh itu ibu bapa perlu sentiasa peka supaya kelakuan baik anaknya sentiasa mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Dengan cara begini anak-anak akan sentiasa terdorong untuk melakukan perkara positif.
4. Kurangkan memberi perhatian kepada anak apabila mereka melakukan perkara negatif.


APAKAH PERANAN DENDA?
1. DENDA merupakan cara yang paling biasa digunakan oleh ibu bapa untuk mendisiplinkan anak-anak mereka.
2. Tetapi pendekatan ini adalah kurang sesuai dan tidak digalakkan walaupun ia nampak berkesan untuk memberhentikan atau mengurangkan sesuatu tabiat buruk.
3. Walaubagaimana pun ada kalanya mengenakan denda menjadi perlu apabila seseorang kanak-kanak melampaui had-had yang ditetapkan.
4. Denda membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan dan hanya patut digunakan sebagai jalan terakhir bagi menangani sesuatu tabiat buruk selepas kesemua langkah pemantapan positif telah gagal.
5. Secara ideal, seseorang kanak-kanak haruslah dibesarkan dengan pengaruh positif, iaitu dengan melebihkan ganjaran daripada hukuman.
Rasulullah (s.a.w.) sendiri tidak pernah memarahi atau meninggikan suara terhadap kanak-kanak semasa ingin menasihati mereka. Baginda sering berlemah-lembut dalam percakapannya dengan kanak-kanak. Satu hadith dari Sunan Abu Dawud:Seorang sahabat Nabi pernah berkata, "Semasa saya kecil, saya suka menjatuhkan buah kurma dengan membaling batu pada pohon kurma. Pada suatu hari, ada seseorang (Rasulullah s.a.w.) yang mendukung saya dan menasihati saya agar memungut buah kurma yang jatuh dari pohon dan bukan menjatuhkannya menggunakan batu. Dia kemudiannya mengusap kepala saya dan memohon rahmat untuk saya"Rasulullah s.a.w. selalu beramah mesra dengan kanak-kanak dan tidak pernah memukul walaupun seorang kanak-kanak (mahupun wanita) di sepanjang hidupnya. Rasulullah s.a.w. banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya pemberian denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.

Kenapakah denda tidak berkesan untuk membentuk tabiat positif jangka panjang?
1. Denda cuma berkesan jika ia menjadi ancaman kepada anak-anak. Kalau denda itu bukan lagi merupakan ancaman, anak-anak akan teruskan dengan tabiat negatif mereka.
2. Denda mendatangkan perasaan marah dan benci dalam anak-anak kepada orang yang mendendanya.
3. Anak-anak akan cuba menyembunyikan perkara negatif yang dilakukannya untuk mengelak daripada didenda. Dia masih lakukan perkara negatif cuma dia sembunyikan daripada ibu bapa.
4. Denda cuma memuaskan hati orang yang mendenda.
5. Kanak-kanak akan mempelajari bahawa denda adalah cara bagi menyelesaikan masalah dan ini akan memberi kesan terhadap interaksi mereka dengan orang lain. Kanak-kanak akan membesar dengan konsep ini.

Terdapat 2 jenis denda:
1. Melakukan sesuatu yang tidak disukai anak-anak (contoh: memarahi, memukul)
2. Menidakkan sesuatu yang disukai anak-anak (contoh: melarangnya menonton TV)

o Walaupun mengenakan denda tidak disyorkan, ini tidak bermakna seseorang ibu bapa itu harus memberikan keizinan tanpa had (permissiveness), iaitu membiarkan sahaja kanak-kanak melakukan apa sahaja yang diingininya tanpa had. Keizinan tanpa had lebih memudaratkan dari mengenakan denda.
o Denda kadangkala perlu dilakukan (sekiranya tidak ada cara positif lain) untuk menghentikan atau kurangkan tabiat buruk yang sedia ada pada kanak-kanak.

Bagaimanakah cara terbaik melakukan denda (jika tidak ada cara positif lain)?
1. Terangkan kepada anak kita secara lembut apakah kelakuan mereka yang melampaui had dan mengapakah ia mungkin membawa padah.
oKita tidak semestinya menyatakan atau menerangkan tabiat buruknya, sebaliknya, kita boleh menerangkan betapa kita menyukai kelakuan baik yang boleh diamalkannya.
o Jangan memberi terlalu banyak perhatian kepada kelakuan buruk anak kerana ia mungkin berubah menjadi suatu cara untuk anak tersebut menarik perhatian kita.
o Jangan sekali-kali memalukan anak di hadapan orang lain. Seelok-eloknya, adalah lebih baik jika anak tersebut dinasihati dalam suatu suasana yang mesra dan peribadi.

2. Apabila nasihat yang diberi tidak membawa sebarang perubahan, kita boleh mengambil langkah seterusnya dengan mengurangkan aktiviti-aktiviti yang disukai mereka.
contohnya, jika anak kita suka bermain basikal di waktu petang, kita boleh melarangnya bermain basikal selama seminggu bermula dari hari dia membuat kesalahan dan terangkan kepadanya kenapa kita berbuat demikian. Ini merupakan denda jenis kedua, iaitu menidakkan sesuatu yang disukai anak-anak.

3. Jika semua usaha yang lain telah gagal dan anak-anak masih meneruskan kelakuan buruknya, hukuman fizikal mungkin menjadi perlu. (Ingat! Ini adalah jalan terakhir dan tidak disyorkan). Antara perkara yang perlu diambil perhatian semasa mendenda secara fizikal ialah:
o Jangan memukul semasa marah. Orang yang marah selalu melampaui batas dalam tindakannya.
o Jangan pukul di bahagian muka, dada atau perut.
o Jangan pukul lebih dari 3 kali.
o Jangan pukul sampai luka, lebam atau bertanda.
o Merotan cuma sebagai simbolik dan bukan untuk menyebabkan kesakitan atau mencederakan.
Kesimpulannya, denda haruslah dielakkan sejauh yang mungkin dan sayangilah anak anda tanpa had. Sesungguhnya, pemberian kasih sayang yang ikhlas membawa suasana yang lebih harmonis dan menyumbang kepada perkembangan mental kanak-kanak yang lebih sihat.

Jangan keliru DENDA dengan TEGAS.
Kita perlu tegas dengan anak-anak. Kalau kita menyatakan sesuatu kita perlu kekalkan pendirian kita dan jangan ubah-ubah. Anak-anak perlu tahu kita serius dan kita akan laksanakan apa yang kita katakan. Tetapi kita perlu realistik dengan perkara yang kita mahu pada anak-anak.

Jangan keterlaluan dengan perkara yang kita nak TEGASkan.
Contoh perkara yang terlalu ketat:
· Langsung tak boleh tengok TV
· Langsung tak boleh dengar muzik
· Langsung tak boleh keluar bersama kawan

Contoh pendekatan yang lebih realistik:
· Beri pilihan kepada anak untuk menonton satu atau dua program TV sahaja.
· Kalau nak keluar membeli-belah mesti solat di mana-mana surau apabila masuk waktu solat.Boleh keluar dengan kawan-kawan tetapi mesti balik ke rumah sebelum pukul 6.00 petang.



PARENTING BOOK : PART 2


RUMUSAN UNTUK IBU BAPA

1. Ibu bapa perlu bincangkan sasaran bersama anak-anak supaya tercapai sasaran yang dikehendaki.
2. Libatkan semua ahli keluarga untuk memahami Hukum Pembelajaran supaya boleh dikongsi, dihayati dan mendapat kerjasama semua pihak untuk mencapai sasaran.
3. Penting bagi ibu bapa mengukuhkan tabiat baik melalui pengaruh positif terarah.
4. Ibu bapa harus sedar bahawa kelakuan baik bukan berlaku secara spontan tetapi memerlukan usaha berterusan secara terancang.
5. Usaha berterusan ini dilakukan melalui langkah-langkah kecil ke arah matlamat akhir.
6. Aplikasi Hukum Pembelajaran boleh dirumuskan dalam kisah ayam.


APLIKASI HUKUM PEMBELAJARAN
: KISAH AYAM
Kisah benar di bawah menunjukkan bagaimana Hukum Pembelajaran digunakan untuk melatih seekor ayam.Matlamat: Mengajar seekor ayam berdiri di atas satu kaki dan berpusing ke kanan satu pusingan serta mematuk butang dihadapannya.Masalah: Adalah sukar untuk kita (manusia) mengajar seekor ayam untuk melakukan pergerakan di atas kerana kita tidak boleh berkomunikasi dengan ayam. Tetapi dengan mengetahui Hukum Pembelajaran, perkara yang hampir mustahil ini boleh dilaksanakan dalam masa kurang dari 10 minit.

Bahan: Seekor ayam yang agak lapar, sangkar yang dibina khas dengan corong dan butang berwarna merah, makanan ayam yang keluar melalui corong apabila suis ditekan.

Kaedah: Dalam ujikaji ini GANJARAN diberi dalam bentuk makanan.
Tahap l:
Buat permulaan kita akan memerhatikan ayam tersebut. Biasanya ayam tidak akan duduk diam. Ia akan senantiasa mengangkat-angkat kakinya dan mematuk secara rawak. Setiap kali ayam tersebut mengangkat kaki kirinya kita beri ia makanan (GANJARAN) dengan menekan suis. Kemudiannya jika kaki kirinya diangkat semula makanan akan diberi hanya jika kakinya diangkat lebih tinggi dari sebelumnya. Ayam dengan cepat dapat kaitkan perbuatan mengangkat kaki kiri dengan penerimaan makanan. Akhirnya kita akan mendapat seekor ayam yang berdiri di atas sebelah kaki. Pada peringkat ini kita cuma beri makanan jika ia mula berpusing seperti tahap II.
Tahap II:
Setiap kali ayam tersebut mengangkat kaki kirinya dan menoleh ke kanan makanan akan diberi. Lama kelamaan ayam ini akan sentiasa berdiri di atas kaki kirinya dan berpusing lehernya sehingga ke tahap badannya ikut berpusing sekali dan membuat satu pusingan.
Tahap III:
Ayam akan diberikan makanan jika ia membuat semua pergerakan tersebut secara berturutan iaitu, berdiri di atas kaki kiri, membuat satu pusingan ke kanan dan mematuk butang. Oleh sebab setiap kali ayam itu melakukan pergerakan di atas ia mendapat ganjaran dalam bentuk makanan, ayam tersebut akan mengulangi pergerakan ini secara berterusan.

Apakah yang dapat dipelajari daripada ujikaji ini?
1. Satu tugas yang pada mulanya mustahil tetapi akhirnya dapat dilakukan dengan menggunakan kaedah yang betul.
2. Tugas yang kompleks boleh dilakukan secara berperingkat.
3. Setiap perbuatan yang disusuli dengan ganjaran akan mengukuhkan perbuatan tersebut.
4. Untuk setiap peringkat kita perlu ada matlamat; kesemua matlamat di setiap peringkat menuju ke matlamat akhir.

Apakah kaedah yang boleh kita lakukan untuk anak kita?
1. Sediakan matlamat.
2. Matlamat yang kompleks perlu dilakukan secara berperingkat.
3. Ganjaran diberi untuk setiap matlamat yang dicapai pada setiap peringkat.
4. Apabila ini sentiasa dilakukan ia akan meninggalkan kesan yang positif kepada anak-anak dan ini dapat dikekalkan sebagai keperibadian positif.

Rumusan untuk ibu bapa:
1. Sediakan matlamat yang ingin dicapai.
2. Beri perhatian terhadap perkara yang positif/baik dilakukan oleh anak.
3. Jangan beri perhatian terhadap perkara buruk/negatif yang dilakukan oleh anak.
4. Beri ganjaran terhadap perkara positif yang dilakukan oleh anak atau setelah matlamat dicapai.
5. Anak perlukan perhatian dari ibu bapanya. Setiap saat, perkembangan anak-anak dibentuk oleh alam persekitarannya, termasuk apa yang dipelajari daripada kedua-dua ibu bapanya.


GANJARAN

a. Apakah jenis-jenis ganjaran?
o Kata-kata pujian
o Kata-kata perangsang
o Memberikan perhatian dan pengiktirafan kepada perkara-perkara baik yang anak-anak lakukan serta memberitahu mereka penghargaan kita.
o Kadang-kala ganjaran diberi dalam bentuk hadiah.

b. Bilakah waktu yang terbaik untuk kita memberi ganjaran?
Ganjaran paling berkesan apabila diberi sebaik sahaja kita dapati anak kita melakukan kebaikan. Oleh itu, kita haruslah sentiasa memberi perhatian kepada setiap perkara baik yang dilakukan oleh anak kita.

c. Bagaimanakah caranya kita memberi ganjaran?
o Beritahu kepada anak kita kebaikan yang telah dilakukannya.
o Beri pujian secara ikhlas dan lemah lembut.
o Pelbagaikan cara pujian itu diberi. Elakkan daripada menggunakan kata-kata yang sama setiap masa.
Contoh ungkapan yang boleh digunakan:
"Baguslah kalau Nadia tak menjerit lagi"
"Suka hati mak tengok anak mak rajin belajar"
"Terima kasih kerana tidak mengusik adik"
"Allah sayang orang yang tidak berbohong"
"Seronokkan, bila semua orang suka kita?"
"Ayah suka bila bilik Omar senitiasa kemas begini"
"Syukur mak, anak mak tak suka lepak"

Kebebasan ada hadnya. Jangan amalkan sikap PERMISIF

1. Di dalam bab-bab terdahulu, kita telah melihat kebaikan mendidik anak dengan lemah lembut;- memberi ganjaran mempunyai kesan yang lebih baik daripada mengherdik dan mendenda anak-anak.
2. Ini tidak bermakna kita harus memanjakan anak-anak tanpa batasan.
3. Anak-anak perlu diberitahu apa yang baik dan buruk. Mereka tidak sepatutnya dibiarkan membuat sesuka hati.
4. Semua kanak-kanak perlu ada had kebebasan berhubung dengan apa yang boleh mereka lakukan.
5. Lagi kecil anak itu lagi banyak had kebebasannya.
6. Ibu bapa perlu memberitahu anak-anak dengan jelas tentang had kebebasan anak-anak.
7. Sikap permisif bermakna ibu bapa membiarkan anak-anak membuat apa sahaja tanpa had.
8. Had kebebasan manusia telah ditentukan oleh Allah. Sikap permisif akan mendorong anak-anak untuk melanggar had kebebasan yang telah ditentukan oleh Allah.
9. Kebebasan tanpa had membawa kesan yang buruk ke atas perkembangan anak, malahan kesannya adalah lebih buruk daripada mendenda anak.
10. Ibu bapa tidak seharusnya terlalu memanjakan anak mereka sehingga tidak pernah bertegas atau menegur kesalahan anak.
11. Anak-anak ini akan membesar dan membuat sesuka hati kerana mereka tidak tahu menilai di antara yang baik dan buruk.
12. Maka terjadilah masyarakat permisif yang tidak boleh membezakan di antara yang baik dan buruk. Masyarakat sebegini dicirikan oleh pergaulan bebas, keruntuhan akhlak, penyalahgunaan dadah, dan sebagainya yang cuma mementingkan keseronokan.
13. Janganlah kerana terlalu sayangkan anak, ibu bapa lalai menjalankan kewajipan dalam memperbetulkan kesalahan yang dilakukan oleh anak mereka.
14. Larang anak daripada melakukan sesuatu perkara negatif dengan tegas. Anak-anak akan tahu sekiranya sesuatu itu benar-benar dilarang oleh ibu bapa mereka atau sekadar di mulut sahaja.
15. Kadang kala ibu bapa bersikap permisif dan takut untuk menegur kesilapan atau sikap keterlaluan anak remaja mereka kerana bimbang anak mereka akan benci kepada mereka. Tetapi ibu bapa perlu ingat sikap ini cuma mendorong anak-anak melakukan kejahatan.


CONTOH PROSES PEMBENTUKAN (SHAPING):
KISAH DATUK DENGAN CUCUNYA
Pada suatu hari seorang datuk dan cucunya pergi ke surau. Sementara mereka sedang berehat di luar surau menantikan masuknya waktu sembahyang, datanglah seekor anak kucing menghampiri budak kecil itu. Pada mulanya, budak kecil yang berumur kira-kira 4 tahun itu hanya menolak anak kucing tersebut dengan kakinya. Dia memandang ke arah datuknya untuk mendapat reaksi beliau. Si datuk hanya tersenyum melihat cucu kesayangannya menolak anak kucing tersebut. Anak kucing yang sedang kelaparan tadi menghampiri mereka lagi dan kali ini si cucu menyepak-nyepak anak kucing itu. Datuknya hanya tersenyum juga memandang gelagat cucunya. Apabila anak kucing tersebut menghampiri mereka sekali lagi, cucu tadi yang berasa datuknya menyukai apa yang dilakukannya, menyepak anak kucing itu dengan sekuat hati; walau bagaimana pun sepakannya tersasar dan dia jatuh terduduk.

Kisah ini menunjukkan bahawa sesuatu sikap buruk yang tidak ditegur dengan segera akan hanya menambahkan lagi keberanian anak-anak untuk melakukan yang lebih buruk lagi.
1. Sepatutnya, datuk dalam contoh di atas menegur cucunya dan melarangnya dari menganiaya binatang sejak dari mula lagi.
2. Kerana terlalu sayangkan cucunya, datuk tersebut telah menerap sikap negatif di dalam kanak-kanak tersebut.
3. Begitu juga secara amnya, sekiranya sikap negatif anak-anak tidak ditegur dan diperbetulkan dengan segera, sikap tersebut akan menjadi bertambah buruk.
4. Terdapat ibu bapa yang hanya tersenyum sekiranya anak kecil mereka membuat kesalahan. Ini akan menggalakkan lagi anak ini mengulangi kelakuan sebegini.
5. Tidak hairanlah sekiranya kanak-kanak ini membesar dengan sikap mementingkan diri, sombong, biadap, dan tidak menghormati orang tua.



MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH

Konsep Khalifah ....
Allah mencipta manusia untuk dua peranan:
· Sebagai seorang hamba yang beribadat kepada Allah.
·Sebagai Khalifah Allah di muka bumi.
"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah dimuka bumi'…Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya…" (Al-Baqarah 30-31)
· Kita boleh membentuk sebuah dunia Islam yang dicirikan oleh semua yang baik dan indah jika semua orang Islam mendidik generasi yang menjalankan peranan sebagai khalifah Allah.
· Penerapan tanggungjawab sebagai khalifah perlu bermula sejak dari kecil lagi.
· Setiap ibu bapa perlu memahami konsep khalifah dan seterusnya menerapkan nilai murni ini kepada anak-anak mereka.

Makna Khalifah....
Khalifah ialah seseorang yang menjalankan peranan sebagai wakil Allah di muka bumi.
Alangkah istimewanya manusia kerana dipilih sebagai khalifah Allah.

Sebagai khalifah, kita perlu menyempurnakan:
1. Diri sendiri - menjadi seorang muslim yang mengikut syariah Allah.
2. Manusia sejagat - ke arah kehidupan yang bercirikan Islam dan diredhai Allah.
3. Alam sekeliling - menjadi sebuah taman syurga yang diredhai Allah. Tugas sebagai khalifah boleh disempurnakan dengan melakukan jihad.

Makna Jihad....
1. Jihad adalah amalan ke arah kebaikan dan menghindari segala kemungkaran.
2. Jihad bukan sahaja bermakna perang suci (Holy war)
3. Ia adalah perjuangan berterusan mengalahkan nafsu jahat dan pengaruh syaitan, untuk mendapatkan keredhaan Allah.
4. Jihad dilakukan melalui kata-kata lembut yang penuh hikmah dan tindakan yang bijaksana.

IBU BAPA mesti betul-betul memahami makna khalifah untuk mendidik anak-anak supaya ANAK-ANAK dapat memahami dengan jelas peranan mereka sebagai KHALIFAH Allah s.w.t.
1. Ibubapa mesti bantu anak-anak memahami bahawa adalah satu penghargaan besar kepada manusia kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi khalifahNya.
2. Anak-anak mesti betul-betul faham bahawa kemenangan atau menjadi `hero' bererti berjaya melawan nafsu jahat dan pengaruh syaitan yang sentiasa menggoda dalam kehidupan harian kita.
3. Kita tidak mahu kalah pada syaitan dan nafsu jahat pada bila-bila masa.

Ibu bapa boleh menerangkan makna khalifah kepada anak-anak yang sangat kecil.
Beritahu mereka … …
1. Sebelum Allah menjadikan kita, Allah telah menjadikan semua benda lain.
2. Allah menjadikan matahari, bulan, bintang dan bumi kita.
3. Allah menjadikan udara yang kita sedut dan air yang kita minum.
4. Allah menjadikan semua tumbuhan dan semua binatang.
5. Allah menjadikan semua ini supaya apabila Allah mencipta Nabi Adam a.s. dan semua manusia termasuk kita, akan ada tempat yang indah untuk kita hidup.
6. Allah menjadikan kita lain dari semua benda dengan memberi akal kepada kita.
7. Allah menjadikan kita istimewa sebab Allah sangat menyayangi kita.
8. Allah menjadikan kita istimewa sebab Allah memberikan tugas yang sangat besar untuk kita lakukan.
9. Allah menjadikan kita KhalifahNya dan ini bermakna menjadi amanah kita untuk melaksanakan semua suruhan Allah.
10. Allah lebih mengetahui daripada sesiapa pun, apa yang baik dan apa yang buruk.
11. Allah ingin kita belajar daripadaNya dan RasulNya apa yang baik dan apa yang buruk.
12. Allah hendak kita menyayangi semua yang baik dan menjauhi diri daripadaAllah hendak setiap orang membuat semua perkara baik dan tidak langsung melakukan perkara buruk.
13. Allah hendak kita membantu orang lain untuk memahami apa yang baik dan apa yang buruk.
14. Allah hendak kita menjaga dunia kita supaya sentiasa indah.
15. Allah hendak ibu bapa menolong anak-anak memahami apa yang baik dan apa yang buruk.
16. Kita rasa sangat gembira kerana Allah menugaskan kita tanggungjawab yang sangat penting.
17. Walaupun kadang-kadang kita rasa kerjanya susah tetapi pasti seronok bila kita lakukannya sebagai Khalifah Allah.
18.Jika kita menjalankan kerja sebaik-baiknya sebagai Khalifah Allah, dunia ini akan menjadi sebuah tempat yang paling istimewa untuk kita dan seterusnya menjadi seperti sebuah syurga idaman semua.
Untuk anak-anak yang lebih besar, beritahu mereka……
1. Sebagai khalifah Allah, adalah penting untuk kita melakukan tugas dengan baik, oleh itu Allah menunjukkan cara untuk kita melakukan tugas ini.
2. Allah amat pemurah kepada kita supaya kita boleh menjadi khalifah yang berjaya.
3. Cara untuk menjalankan peranan sebagai khalifah Allah adalah melalui jihad.
4. Jihad bererti melakukan semua yang baik dan tidak melakukan perkara yang buruk.
5. Allah menyayangi semua perbuatan yang baik dan tidak suka kepada semua perbuatan buruk.
6. Syaitan melawan semua perkara yang disukai Allah.
7. Syaitan mahu kita melakukan semua perkara yang buruk dan tidak suka kita melakukan perkara yang baik.
8. Jihad bererti melawan syaitan dengan cara TIDAK melakukan perkara yang buruk.
9. Kita semua adalah pahlawan Allah yang melawan syaitan.
10. Semua kanak-kanak lelaki dan perempuan adalah pahlawan Allah yang melawan syaitan.
11. Kita menang melawan syaitan apabila kita tidak membuat perkara jahat.
12. Kadang-kadang syaitan mempengaruhi pemikiran kita dan cuba membuat kita melakukan perkara jahat.
13. Syaitan boleh mendorong kita melakukan kejahatan melalui perbuatan, percakapan dan pemikiran kita.
14. Kita mesti melawan supaya syaitan tidak berjaya membuat kita jadi jahat.
15. Allah mahu kita membuat hanya perkara baik dan oleh kerana kita mahukan keredhaan Allah, kita perlu cuba untuk berbuat baik.
16. Syaitan sentiasa mendorong semua orang supaya melakukan kejahatan dan melawan suruhan Allah. Oleh itu kita mesti berusaha untuk menghalang perbuatan jahat orang yang mengikut suruhan syaitan.
17. Kita mesti bersungguh-sungguh menjadi baik supaya kita boleh mengalahkan orang yang mahu melakukan kejahatan.
18. Kita mesti bersungguh-sungguh menjadi kuat supaya kita tidak dipengaruhi oleh orang yang mengikuti suruhan syaitan.
19. Syaitan sentiasa mencuba untuk menjadikan kita jahat. Oleh itu kita mesti selalu berwaspada dan sentiasa ingat kepada Allah.
20. Kita mesti menahan diri daripada melakukan perkara jahat walau sekecil mana pun kerana kalau tidak, ini menandakan yang syaitan telah menang dan kita kalah.
21. Kalau syaitan menang untuk membuat kita melakukan kejahatan yang kecil, maka lebih mudah untuk syaitan membuat kita melakukan kejahatan yang lebih besar.
22. Jika kita sayangkan Allah dan membuat baik seperti yang Allah suruh, kita akan masuk syurga dan inilah yang kita idamkan.


KESIMPULAN

· Bentuklah peribadi anak dari kecil lagi tetapi masih tidak terlambat untuk memperbaiki peribadi anak pada setiap peringkat umur.
· Anak-anak kecil hendaklah digalakkan bersikap positif melalui pengaruh positif terarah. Tegurlah mereka dengan segera sekiranya mereka membuat salah. Terangkan kepada mereka kesalahan yang telah dilakukan dan jelaskan mengapa ia tidak boleh diulangi.
· Anak-anak perlu dididik berpandukan had kebebasan tertentu dan ini telah pun diperincikan di dalam Islam.· Kita perlu konsisten dalam memupuk nilai positif tanpa mengira keadaan atau tempat.
· Penerapan nilai Islam dalam membesarkan anak adalah cara yang terbaik untuk memupuk nilai positif mereka.

Tabiat baik cuma boleh dibentuk melalui pengaruh positif terarah.
1. Untuk anak kecil:
a. Ibu bapa perlu menumpukan kepada pengukuhan tabiat baik melalui pengaruh positif terarah (ganjaran).
b. Elakkan mendenda anak.
c. Perlu tegas dengan anak.

2. Untuk anak bermasalah:
a. Denda pada peringkat awal mungkin perlu untuk menghentikan tabiat buruk tetapi pastikan denda tidak memusnahkan hubungan baik ibu bapa dengan anak.
b. Denda yang diutamakan ialah menidakkan sesuatu yang disukai anak-anak
c. Elakkan menengking, berleter atau memukul.
d. Pada masa yang sama, adalah penting dimulakan pengukuhan tabiat baik melalui pengaruh positif terarah menggunakan ganjaran.
e. Secara beransur-ansur, tumpuan patut diberikan kepada pengukuhan tabiat baik dengan ganjaran dan hentikan denda sepenuhnya.
f. Sentiasa beritahu anak kita apa kelakuan baik yang kita mahu anak kita lakukan dan jelaskan kebaikan yang akan diperolehi daripada kelakuan tersebut.
g. Lakukan perbincangan dari hati ke hati dengan anak kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

3. Untuk anak-anak remaja:
a. Dampingilah mereka.
b. Sayangilah mereka.
c. Hormatilah mereka dan tunjukkan kasih sayang.
d. Berceritalah dengan mereka.
e. Hargailah mereka.
f. Jangan perkecilkan mereka.
g. Jangan kutuk mereka.
h. Jelaskan di antara betul dan salah.
i. Kukuhkan tabiat positif dengan pengaruh positif terarah.

Semasa kecil, mereka kita belai dan kita manjakan. Apabila remaja mereka memerlukan lebih banyak belaian dan perhatian kita.

Sama-samalah kita mempertingkatkan iman dan amal dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendidik anak-anak sebagai khalifah Allah yang berjaya. Untuk renungan bersama, hayatilah ayat Quran dan hadith berikut.
Firman Allah SWT: "Hai anakku dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah). " Luqman: 17
"Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu Dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…." At-Tahrim: 6

Sabda Rasulullah s.a.w.:"Apabila matinya seseorang, semua amalannya terhenti kecuali tiga perkara: sadaqah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya."(Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:Rasulullah s.a.w. mencium Hasan bin Ali. Ketika itu disampingnya duduk Aqra' bin Habis. Al Aqra' berkata:Saya mempunyai sepuluh orang anak. Tidak seorang pun dari mereka yang pernah saya cium ." Rasulullah s.a.w. memandang kepadanya, kemudian berkata: "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi!"(Bukhari)

Sabda Rasullah s.a.w: "Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin bertanggungjawab tentang kepemimpinannya. Imam itu pemimpin, bertanggungjawab tentang kepemimpinannya. Laki-laki itu pemimpin dalam keluarganya, bertanggung jawab tentang kepemimpinannya. Wanita itu pemimpin dalam rumah tangganya, dan bertanggung jawab tentang kepemimpinannya. Khadam itu pemimpin bagi harta majikannya, bertanggung jawab tentang kepemimpinannya."(Bukhari dan Muslim)


Kelab Wanita Universiti Kebangsaan MalaysiaKuala Lumpur, Malaysia.2002.© Muhammad al' Mahdi on behalf of Allah.Kami membenarkan mana-mana bahagian dan isi kandungan buku ini dikeluarkan semula dalam apa juga bentuk selagi ia dilakukan untuk kebaikan masyarakat dan ummah dan bukan untuk tujuan mendapat keuntungan. Sesiapa yang ingin mencetak buku ini untuk tujuan komersil sila dapatkan kebenaran dari kami.We give permission for this material to be reproduced and disseminated by any means as long as it is done non-commercially (not for profit) and for the general betterment of society. If anyone desires to reproduce and/or disseminate this material commercially please ask our permission. ISBN 983-41173-0-2

SAAT KEHAMILAN YANG MENDEBARKAN

Pertama kali menjadi ibu merupakan satu pengalaman yang amat beharga dan sungguh bermakna. Tanyalah mana-mana ibu di dunia ini. Saat yang paling indah yang melengkapi hidup sebagai wanita adalah ketika pertama kali dihadiahkan Tuhan denyutan jantung di dalam ruang kecil rahim.

Merasai gerakan-gerakan dan tendangan-tendangan halus dari dalam perut memang mengujakan! Mengusap-ngusap dan berbicara dengan 'orang dalam' adalah suatu pengalaman yang amat menyeronokkan. Pelbagai bayangan dan imaginasi terhadap bayi yang akan dilahirkan amat-amat mendebarkan namun seringkali membuatkan si ibu bercampur baur dengan perasaan gembira dan gusar. Gembira kerana akan dikurniakan Tuhan seorang cahayamata buat pelengkap hidup si ibu dan ayah. Gusar kerana belum tentu tahu akan untung nasibnya kelahiran tersebut. Namun hanya yang baik-baik diucapkan dan didoakan buat cahaya hati ibu dan ayah.

Fizikal si ibu tentunya terkesan dengan proses kehamilan. Perut memboyot yang perlu diusung ke sana ke mari 24 jam sehari memang membebankan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun atas dasar kasih dan sayang terhadap si kecil di dalam kandungan segalanya menjadi alah bisa tegar biasa. Urat-urat betis si ibu mula jelas kelihatan dan ibu seringkali termengah-mengah di saat akhir kehamilan. Namun segalanya ditempuhi dengan penuh kesabaran. Inilah latihan amali bagi bakal ibu bagi mempersiapkan jasmani, rohani dan emosi untuk berdepan dengan status ibu kelak yang mana proses membesarkan si kecil bukanlah suatu tugas yang mudah. Pelbagai cabaran sedang menanti yang mana si ibu harus mempunyai emosi yang kental dan fizikal yang kuat dan sihat. Namun, kasih sayanglah yang mengatasi segala-galanya walaupun si ibu belum pun lagi pernah 'bertentang mata' dengan si kecil 'di dalam'.

"Shhhh, tenang-tenang sayang, ibu sayang kamu. Tak sabar rasanya mengucupi pipi gebu mu"

Ibu menanti dan membilang hari...demi hari..dengan penuh pengharapan pada yg Esa.